Polis siasat sindiket didalangi 'Datuk Wira' tipu pelabur hingga RM1 bilion
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berkaitan seorang lelaki bergelar 'Datuk Wira' yang didakwa menipu ratusan pelabur dengan kerugian dianggarkan mencecah hampir RM1 bilion.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata satu pasukan siasatan sudah ditubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bersama Unit Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA).
"Kita kena siasat dulu dakwaan bahawa 'Datuk' itu dilindungi oleh seorang 'Tan Sri'. Bila maklumat yang bukan kita keluarkan, kita kena siasat, kita nak sahkan berita dan maklumat itu benar.
"Kalau dia kata cakap dilindungi oleh 'Tan Sri' ke 'Perdana Menteri' ke kita kena siasat. Tak boleh terus-terus buat kesimpulan sebab maklumat itu bukan datang dari saya atau JSJK sendiri.
"Memang kita dah minta untuk siasat, kertas siasatan sudah dibuka," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Bukit Aman, hari ini.
Semalam, Pengerusi Sekretariat Mangsa Penipuan Ranjeet (MAPER) yang juga seorang mangsa, Shah Abdul Malek, mendakwa setakat ini ratusan individu dan syarikat korporat menjadi mangsa kepada individu bergelar 'Datuk Wira'.
Katanya, individu terbabit bersama seorang rakan perniagaannya bergelar Tan Sri, yang didakwa berpengaruh dalam pihak berkuasa, turut menipu pegawai-pegawai kerajaan, golongan profesional seperti doktor, pelabur antarabangsa dan rakyat.
Beliau mendakwa, setakat ini rantaian penipuan mereka mencecah hampir RM1 bilion termasuk pelaburan yang dibuat oleh seorang usahawan dari United Kingdom (UK) berjumlah hampir RM60 juta
Lelaki terbabit didakwa menipu ratusan pelabur dengan janji manis apabila menjual nama rakan kongsinya yang bergelar 'Tan Sri' melalui 18 syarikat pelaburan.
Shah mendakwa individu berkenaan pada awalnya memberi jaminan pulangan yang tinggi sehingga enam peratus setiap bulan bagi setiap wang yang dilaburkan.
Namun, dalam tempoh beberapa bulan, individu berkenaan tidak membayar pulangan dijanjikan, malah membuat ugutan akan melaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung punca kewangan pelaburnya yang melabur sehingga jutaan ringgit.
Sumber: Berita Harian
Comments
Post a Comment