Akaun 3 KWSP untuk kecemasan dijangka dilaksana April depan

 

         Akaun 3 KWSP beri pengeluaran fleksibel, rancang diperkenal dalam 2 tahun  untuk pencarum baharu | BULETIN TV3 Malaysia

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan 'Akaun Fleksibel' atau Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dapat dimulakan pada April 2024, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, perincian mengenai 'Akaun Fleksibel' itu akan diperjelaskan kepada pencarum selepas KWSP mengumumkan agihan dividen pada Februari tahun depan.

Katanya, buat masa ini organisasi atau pihak berkaitan masih boleh memberikan pandangan mereka kepada Kementerian Kewangan dan KWSP mengenai Akaun 3.

"Kita sedang meneliti dari sudut kaedah tertentu mengenai akaun ini yang tidak terlalu menjejaskan pendapatan pencarum.

 

"Akaun 3 akan ada peratusan tertentu dan akan dikeluarkan pada waktu kecemasan sahaja. Bentuk kecemasan itu akan diperincikan kelak.

"Ini adalah salah satu langkah kerajaan dalam mendengar keluhan rakyat selepas banyak desakan agar dilaksanakan sekali lagi pengeluaran khas seperti dilaksanakan ketika pandemik COVID-19," katanya selepas merasmikan Seminar ASEAN Social Security Association (ASSA) ke 40 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Datuk Nik Amlizam Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengerusi ASSA, Keo Chanthavixay.

Belanjawan 2024 yang lalu membentangkan KWSP akan membuka satu lagi akaun untuk pencarum KWSP, dikenali sebagai Akaun Fleksibel.

KWSP sebelum ini menyatakan selaras dengan fenomena penuaan yang pesat dan landskap kerja yang semakin berkembang ke arah tidak formal di Malaysia, ia sentiasa mengkaji semula skim untuk memastikan ahli boleh memenuhi keperluan kitaran hidup tanpa menjejaskan simpanan mereka bagi tujuan persaraan kelak.

Oleh itu, bagi membantu ahli mengimbangi keperluan jangka masa pendek, sederhana dan panjang, akaun ahli KWSP akan distruktur semula untuk memperkasakan lagi simpanan persaraan demi kesejahteraan hari tua termasuk memperkenalkan Akaun Fleksibel.

 

Ahmad berkata, ketika pandemik COVID-19, negara menghadapi salah satu daripada tempoh paling sukar dalam sejarah sehingga memberikan impak sosioekonomi dan ramai yang bergantung kepada kerajaan untuk mendapatkan bantuan.

Beliau berkata, keadaan itu turut memberikan pengajaran iaitu kerajaan perlu membina sistem perlindungan sosial yang mantap dan berdaya tahan agar rakyat dapat menangani kejutan ekonomi.

Justeru, katanya, di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia komited untuk memperbaharui sistem perlindungan sosial bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK-12) sudah mengenal pasti Pembaharuan Perlindungan Sosial sebagai yang matlamat besar yang berani untuk masyarakat yang lebih sejahtera.

"Bagi mencapai Pembaharuan Perlindungan Sosial, kerajaan akan menerima pakai tiga inisiatif iaitu menggubal dasar sistem perlindungan sosial melalui pendekatan kitaran hayat, menggubal garis panduan mengenai pekerja tidak formal untuk perlindungan sosial yang lebih menyeluruh serta 'Inisiatif Pendapatan Rakyat' meningkatkan pendapatan," katanya.

Sumber:Berita Harian

Comments

Popular posts from this blog

TABUNG HAJI DEDAH MODUS OPERANDI TERBARU SCAMMER MENGGUNAKAN NAMA TABUNG HAJI

Kerajaan sedia perinci kenaikan gaji penjawat awam

Sanusi dedah kronologi isu kontrak beras 100 juta