4 bulan tiada menteri KPDN antara kegagalan kerajaan pusat- Ahmad Samsuri

 4 bulan tiada menteri KPDN antara kegagalan kerajaan pusat- Ahmad Samsuri

 

 

 

 Ketiadaan pengganti bagi mengisi kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dalam tempoh panjang merupakan antara kegagalan kerajaan persekutuan, kata calon Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar.

Selain itu katanya, pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut gagal menyelesaikan banyak masalab dihadapi rakyat.

"Kita boleh tengok bagaimana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dah empat bulan tidak ada menteri yang secara langsung bertanggungjawab.

"Jadi kenapa perkara begini boleh timbul dalam keadaan kita berdepan dengan pelbagai masalah?

 “Sebab itulah rakyat kena hantar mesej yang jelas bahawa kita mahu berikan kemenangan kepada PAS,” katanya kepada media selepas turun berkempen di Unit Daerah Mengundi (UDM) Chukai, hari ini

Sementara itu Menteri Besar Terengganu itu juga berkata sokongan pengundi di Kemaman semakin meningkat terhadapnya selaku calon parlimen kawasan itu.

“Saya rasa benda ini (sokongan) jelas, kita tengok di media sosial, di lapangan, kita tengok pada hari penamaan calon dan sepanjang tempoh selepas diisytiharkan Parlimen ini terbubar, dengan sendirinya pun kita lihat macam mana sokongan itu meningkat dari sehari ke sehari.

“Ditambah lagi apabila kerajaan di peringkat persekutuan yang ada ini gagal menyelesaikan banyak masalah rakyat seolah-olah tidak ada apa yang berlaku dalam negara kita.

“Masing-masing cuba lari dan tidak menyelesaikan masalah," jelasnya.

Untuk rekod jawatan menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) belum diganti selepas kematian bekas menterinya Allahyarham Salahuddin Ayub pada Julai lalu.

Sementara itu mengulas lanjut mengenai fokusnya di Kemaman Ahmad Samsuri berkata, banyak perkara telah dicapai di kawasan itu.

Menurutnya ahli Parlimen sebelum ini juga sudah menjalankan tugas dengan sangat baik dengan membawa mesej-mesej dari Kemaman ke Dewan Rakyat.

“Tinggal lagi aspek-aspek yang perlu kita tambah baik, yang perlu kita lihat bagaimana beberapa perkara yang sebelum ini dibuat keputusan di peringkat persekutuan untuk dilaksanakan di Kemaman tetapi tidak dilaksanakan apabila bertukar kerajaan persekutuan lalu dibatalkan projek itu, projek ini.

“Jadi ini perkara yang perlu dibuat rombakan kepimpinan di peringkat pusat. Sebab itulah kita nak hantar mesej yang jelas ini,” ujarnya yang akan dicabar calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dalam PRK berkenaan.

 Sumber:Malaysiakini

Comments

Popular posts from this blog

TABUNG HAJI DEDAH MODUS OPERANDI TERBARU SCAMMER MENGGUNAKAN NAMA TABUNG HAJI

Kerajaan sedia perinci kenaikan gaji penjawat awam

Sanusi dedah kronologi isu kontrak beras 100 juta