Ribut rosakkan persiapan sambutan Hari Kebangsaan di Stadium Perak

 

                         Ribut melanda di perkarangan Stadium Perak.

 

 

 IPOH: Persiapan perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri di perkarangan Stadium Perak, di sini, esok, dilihat terjejas susulan ribut melanda petang tadi

Visual dan gambar yang memaparkan persiapan sambutan dijadual berlangsung pagi esok yang turut dihadiri kenamaan, termasuk khemah, pentas dan kerusi diterbangkan angin turut tular di media sosial petang tadi.

Tinjauan di tempat kejadian pada jam 7 malam tadi mendapati beberapa khemah bersaiz besar yang disediakan termasuk di pentas utama bagi menempatkan tetamu kenamaan dan khemah tetamu jemputan ranap akibat angin kencang, selain pokok serta tiang lampu jalan tumbang di kawasan berdekatan.

Puluhan anggota pasukan beruniform termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak penganjur dilihat bertungkus-lumus membaiki serta membetulkan kerosakan.

Biarpun persiapan sambutan itu dilihat terjejas teruk, namun difahamkan majlis sambutan Hari Kebangsaan anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak itu tetap diteruskan pagi esok.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan ketika ditemui di lokasi kejadian, mengesahkan pihaknya menerima laporan awal berhubung kejadian pokok tumbang melintangi jalan akibat angin kencang di kawasan sekitar kira-kira jam 5.45 petang tadi, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, pihaknya turut difahamkan kerja pembersihan dan pembaikan infrastruktur prasarana yang rosak di lokasi sambutan akan disiapkan sebelum pagi esok bagi memastikan majlis berlangsung seperti dirancang.

"Kita akan bantu dan akan berlangsung juga (sambutan kemerdekaan) pagi esok, InsyaAllah," katanya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad ketika dihubungi pula mengesahkan Pengerusi Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah menghubunginya bagi mendapatkan bantuan anggota untuk kerja pembersihan dan pembaikan kerosakan di lokasi acara terbabit.

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri di perkarangan Stadium Perak, di sini, esok dijadual dihadiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Sumber: Berita Harian

 

 

 

Comments

Popular posts from this blog

TABUNG HAJI DEDAH MODUS OPERANDI TERBARU SCAMMER MENGGUNAKAN NAMA TABUNG HAJI

Kerajaan sedia perinci kenaikan gaji penjawat awam

Sanusi dedah kronologi isu kontrak beras 100 juta