Belum terima permohonan permit 'Gerakan Selamatkan Malaysia' - Ayob Khan

 Ayob Khan dilantik Ketua Polis Johor

Ipoh: Polis belum menerima permohonan permit bagi penganjuran perhimpunan aman 'Gerakan Selamatkan Malaysia' di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur yang dijadualkan diadakan sempena Hari Malaysia, Sabtu ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tarikh akhir permohonan permit itu adalah pada hari ini.

Menurutnya, mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang perhimpunan perlu memohon permit sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh ia diadakan.

"Perlu lima hari sebelum tarikh perhimpunan itu diadakan dan kalau diikutkan, hari ini adalah hari terakhir permohonan permit perlu dibuat.

"Saya belum pasti mereka sudah buat permohonan atau tidak, nanti saya akan semak. Tetapi hari terakhir untuk mereka buat permohonan adalah hari ini, lima hari sebelum," katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Hari Ulang Tahun Pasukan Gerakan Udara (PGU) ke-44 di Pangkalan Latihan PGU Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, hari ini. 

Hadir sama Komander Pasukan Gerakan Udara Datuk Noor Sham Md Jani dan Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris.

Menurutnya, selain memohon permit, sebarang perhimpunan yang ingin dianjurkan mana-mana pihak perlu mematuhi beberapa syarat peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan antaranya termasuk mendapat keizinan empunya kawasan serta memastikan tiada bantahan daripada masyarakat yang berada di sekeliling lokasi perhimpunan.

"Permohonan permit juga perlu mendapat kebenaran daripada pemilik premis ataupun kawasan terbabit.

"Dalam konteks ini adalah perlu mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan juga pihak Sogo.

"Dimestikan untuk tidak ada bantahan daripada masyarakat yang berada di sekeliling khususnya pemilik-pemilik premis kedai atau Sogo sendiri yang mana mereka boleh membuat bantahan dalam tempoh 48 jam sebelum itu,".

Menurutnya, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan sedia ada terhadap penganjur dan peserta himpunan terbabit sekiranya berlaku pelanggaran.

Terdahulu, media melaporkan perhimpunan aman bagi memulakan kempen 'Gerakan Selamatkan Malaysia" itu akan dianjurkan oleh Pemuda Perikatan Nasional (PN) pada Sabtu ini yang bersamaan dengan Sambutan Hari Malaysia 16 September.

Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dilapor berkata, perhimpunan dijadualkan jam 2 petang itu adalah susulan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi sebelum ini.

Sumber: Harian Metro

 

Comments

Popular posts from this blog

TABUNG HAJI DEDAH MODUS OPERANDI TERBARU SCAMMER MENGGUNAKAN NAMA TABUNG HAJI

Kerajaan sedia perinci kenaikan gaji penjawat awam

Sanusi dedah kronologi isu kontrak beras 100 juta