'US pada nama US Pizza bemaksud kita, bukan Amerika'

                             Get To Know Authentic American Pizzas From US Pizza Malaysia - US PIZZA  MALAYSIA

Susulan gerakan boikot terhadap syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS), restoran pizza, US Pizza mengambil langkah awal memberi penjelasan mengenai nama perniagaan itu.

Bagaimanapun, tindakan itu sebaliknya membuka mata netizen sejak semalam, yang menyebabkan perbincangan hangat di platform dalam talian seperti forum Reddit dan Forum Lowyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Wealth Link Freedom Sdn Bhd, Mohd Sobree Ali menerusi notis yang dikeluarkan berkata, US pada nama syarikat itu bukan bermaksud Amerika Syarikat.

“Adalah dimaklumkan bahawa US Pizza merujuk kepada perkataan ‘us’ (dalam Bahasa Melayu ‘kita’). Ia benar-benar sebuah syarikat tempatan.

“US Pizza di Taman Prima Saujana, Kajang, Selangor adalah entiti perniagaan Muslim. Syarikat ini milik keluarga saya dan saya sendiri.

"Kami ingin mengalu-alukan kedatangan anda semua ke restoran kami dan menikmati makanan yang kami tawarkan," menurut notis tersebut.

Notis itu menimbulkan pelbagai reaksi netizen dan sebahagian mereka berpendapat bahang kempen boikot anti-Israel semakin marak.

Notis itu bagaimanapun telah diturunkan

Berbeza penjelasan di laman web

Penjelasan Sobree bercanggah dengan sejarah asal di laman web rasmi US Pizza, yang menyebut Donald Duncan sebagai pengasas restoran itu.

Laman web itu menjelaskan Duncan bekerja di restoran pizza di Kansas City, Amerika Syarikat, selama lima tahun pada awal 1990-an, di mana dia menghasilkan resipi doh dan sos tomato sendiri.

“Mr Duncan kemudiannya membuka cawangan pertama di Malaysia pada 1997, dan menamakan cawangan itu US Pizza, untuk memberi penghormatan kepada asal makanannya,” kata laman web itu.

Bahan promosi syarikat itu juga menunjukkan gambar pizza yang dihiasi dengan bendera kecil Amerika Syarikat.


Menurut laporan, Duncan menjual syarikat itu kepada pegawai bank Malaysia Jeremy Hiew, dan syarikat itu kini beribu pejabat di Pulau Pinang.

Ketika dihubungi, Sobree memberitahu Malaysiakini bahawa notis itu pada awalnya disiarkan oleh anaknya di akaun media sosial peribadi miliknya beberapa hari lalu.

Katanya, dia menarik balik notis itu kerana masih perlu membincangkan penjelasan berhubung nama francais itu dengan ibu pejabat syarikat tersebut.

 

“Kami telah pun menurunkan (notis itu). Saya telah meminta ibu pejabat mengeluarkan kenyataan bahawa ini adalah syarikat tempatan. Ia tidak melibatkan apa-apa kaitan dengan AS.

“Jadi, saya letak ‘US’ bermaksud ‘us’, kita. Tetapi nampaknya mereka (ibu pejabat) tidak gembira dengan cara sedemikian.”

‘Kita bermaksud selamat datang semua’

Sobree berkata dia akan menyelesaikan isu itu dengan ibu pejabat syarikat tersebut.

Dia juga menegaskan bahawa dia mentafsirkan perkataan 'US' untuk merujuk kepada kata ganti nama 'kami' bagi mengalu-alukan semua pelanggan ke restoran tersebut dan ia hanya melibatkan cawangan US Pizza miliknya.

“Jadi, bagi saya apabila kita sebut ‘kita’, bermakna semua orang boleh datang. Melayu, Cina. Orang India… Semua orang akan datang.”

Mengakui bimbang dengan trend boikot, Sobree memberi jaminan kepada pelanggan bahawa syarikat itu memiliki sijil halal

Justeru katanya, dia tampil memberikan penjelasan mengenai nama restoran dan latar belakang dirinya sebagai pengurus cawangan.

“Saya seorang Islam dan apabila orang Melayu datang, mereka akan tanya ‘halal atau haram?’. Itu menjadi isu jadi saya perlu menjelaskan bahawa saya Islam dan saya anak tempatan.

“Jadi, jika tidak, kita tidak boleh bertahan. Kami mahu bertahan, kami tidak mahu diboikot, atau jika tidak, kami akan mengalami kerugian.”

Menurutnya US Pizza sama seperti restoran Thailand yang dibuka di Malaysia dan dikendalikan oleh peniaga tempatan seperti kedai tom yam yang tidak mempunyai kaitan dengan Thailand.

"Kami hanya mengambil menu dan mengikut prosedur operasi standard," tambahnya.

 Sumber:Malaysiakini

 

Comments

Popular posts from this blog

TABUNG HAJI DEDAH MODUS OPERANDI TERBARU SCAMMER MENGGUNAKAN NAMA TABUNG HAJI

Kerajaan sedia perinci kenaikan gaji penjawat awam

Sanusi dedah kronologi isu kontrak beras 100 juta