Muhyiddin tak akan pertahan jawatan Presiden BERSATU

 

 Reaksi Muhyiddin selepas mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden BERSATU pada pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung tahun depan. - NSTP / FAIZ ANUAR

 

 

SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden BERSATU pada pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung tahun depan.

Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, Perhimpunan Agung BERSATU 2023 yang sedang berlangsung kini akan menjadi yang terakhir disertai beliau Presiden BERSATU.

"Ini adalah Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) terakhir (untuk) saya berdiri di pentas ini sebagai Presiden. Ini kerana pemilihan parti akan datang akan dibuat di peringkat bahagian terlebih dahulu sebelum perhimpunan agung diadakan.

"Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua pimpinan dan ahli BERSATU... jika saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang memimpin parti. Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden BERSATU hari ini.

Muhyiddin ketika menyuarakan hasratnya itu kelihatan tenang, sebelum pengerusi majlis meminta semua perwakilan bangkit sebagai menyuarakan tanda solidariti meminta Ahli Parlimen Pagoh itu kekal menerajui BERSATU.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden BERSATU itu dibuat untuk memberi ruang kepada pemimpin pelapis berpengalaman mengambil alih kepemimpinan mengikut proses demokrasi, selain meneruskan agenda perjuangan parti.

 

Sehubungan itu, beliau mendoakan proses peralihan kepemimpinan BERSATU nanti akan berlangsung penuh tertib dan harmoni, hasil kesatuan hati dan semangat setiakawan tinggi dalam kalangan barisan kepimpinan dan ahli BERSATU.

"Junjunglah Perlembagaan parti. Elakkan perpecahan. Utamakan perpaduan supaya parti dapat bangkit dengan lebih gagah dan sakti selepas ini," katanya.

Muhyiddin juga percaya BERSATU akan diterajui pasukan pemimpin hebat dan berpengalaman luas sejurus tiba masanya untuk beliau mengundurkan diri sebagai Presiden nanti.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut juga mencadangkan kepemimpinan kanan BERSATU bermesyuarat bagi memastikan tokoh berpengalaman luas dalam parti itu mempunyai tempat dan peranan dalam barisan kepemimpinan yang baharu.

Kekal ahli BERSATU, perlahan karier politik

Sementara ketika sidang media, Muhyiddin berkata, beliau secara tidak langsung akan memperlahankan kerjaya politiknya, sejurus mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden BERSATU.

Bagaimanapun, beliau menegaskan akan kekal sebagai ahli BERSATU, selain memaklumkan yakin pengumuman tidak mempertahankan jawatannya itu akan mendapat sokongan akar umbi.

"Saya sudah meneliti panjang (cadangan tidak mempertahankan jawatan Presiden BERSATU). Saya sudah 63 tahun dalam arena politik, bukan hanya dalam BERSATU sahaja.

"Parti tidak boleh terlalu bergantung hanya kepada saya kerana ramai lagi tokoh politik berkaliber (dalam BERSATU). Mereka boleh lakukan, jika diberi peluang untuk menerajui parti," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui tidak bersetuju dengan pengumuman Muhyiddin, selain menjelaskan akan mencari kaedah terbaik dan mempertimbangkan pandangan akar umbi.

Sumber: Berita Harian

 


Comments

Popular posts from this blog

TERKINI : NAJUB DAPAT PENGAMPUNAN?

Bagaimana mendaftar di Padu dan maklumat diperlukan

Bonus! Penjawat awam dapat RM2,000, pesara RM1,000