Pendedahan McDonald's mengenai usahanya bekerjasama dengan kerajaan
untuk mendakwa mereka yang menyeru boikot di bawah Akta Hasutan dilihat
memburukkan lagi krisis perhubungan awam (PR) yang dihadapi francais
makanan segera itu, dengan seorang peguam hak asasi melahirkan rasa
terkejut dengan langkah syarikat itu untuk menggunakan undang-undang
yang dikecam ramai pihak.
Pengumuman itu dibuat pada 3 November lalu menerusi media sosial oleh
Ketua Pegawai Teknologi McDonald's Malaysia, Zaid Hasman, tetapi mula
menjadi bahan bualan sejak beberapa hari kebelakangan ini apabila ramai
netizen menyatakan rasa terkilan dengan langkah syarikat itu mendapatkan
bantuan pihak berkuasa.
Dalam kirimannya yang telah pun dipadamkan, Zaid Hasman berkongsi
gambar beliau dan beberapa pegawai kanan McDonald's Malaysia bersama
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohamad
Salim.
S
SKMM, pengawal selia internet di bawah Kementerian Komunikasi dan
Digital yang diketuai Fahmi Fadzil, baru-baru ini menjadi sasaran
kecaman atas tindakannya menyekat beberapa laman web yang menerbitkan
berita kurang disenangi kerajaan.
Sambil mengucapkan penghargaan kepada SKMM atas kerjasama "membendung
fitnah" terhadap McDonald's, Zaid Hasman mengumumkan 60 individu telah
dikenal pasti untuk "didakwa di atas Akta Hasutan".
Kiriman itu mengundang kecaman terhadap McDonald's, di sebalik rayuan
pihak pengurusan tertingginya kepada orang ramai supaya tidak
mengaitkannya dengan rakan francais di negara lain yang mengambil sikap
pro-Israel, termasuk langkah McDonald's di Israel untuk menyumbang
makanan kepada askar Israel yang terlibat dalam pengeboman Gaza.
McDonald's Malaysia beberapa kali menegaskan ia merupakan entiti
bebas, sambil merujuk kepada sumbangan zakat tahunan, dalam usaha
meredakan kemarahan umat Islam yang menyambut baik sebuah kempen boikot
sedunia menyasarkan syarikat-syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat,
sekutu utama Israel yang membekalkannya dengan senjata dan bantuan lain
dalam operasi ketenteraannya di Gaza.
Pengurusan tertinggi McDonald's turut mendampingi mufti negeri,
pempengaruh dan beberapa pendakwah popular, di samping mengumumkan
sumbangan kepada tabung kemanusiaan Gaza tajaan kerajaan.
Bagaimanapun ia dilihat masih gagal menyekat trend boikot, yang
menyaksikan banyak cawangan McDonald's di sekitar Lembah Klang hampir
lengang walaupun pada waktu puncak.
Ia ditambah pula dengan beberapa klip video melawan hujah boikot yang
dilihat memakan diri, dihujani komen yang menyerang naratif yang sering
dibawa syarikat bahawa kesan buruk tindakan boikot itu akan dirasai
pekerja Melayu Islam.
u
Langkah terbaru McDonald's untuk menggunakan Akta Hasutan
bagaimanapun mengejutkan ramai pihak, termasuk seorang peguam hak asasi
terkemuka.
"Adalah pelik dan tidak wajar apabila sebuah syarikat mengumumkan 60
orang sedang disiasat di bawah undang-undang yang zalim ini. Jika ada
pun, siasatan jenayah dan pendakwaan adalah di bawah bidang kuasa polis,
dan adalah tugas peguam negara untuk mengumumkannya," Zaid Malek dari
Lawyers for Liberty memberitahu stesen perniagaan BFM semalam.
Beliau mengandaikan McDonald's mungkin diberikan "nasihat salah",
sambil mengingatkan Akta Hasutan bukan bertujuan melindungi entiti
perniagaan.
"Adalah jelas McDonald's sebagai sebuah syarikat tidak termasuk dalam
bidang kuasa Akta Hasutan kerana ia berkait dengan sebarang bentuk
kenyataan 'menghasut' yang didakwa dibuat terhadap kerajaan atau
mana-mana organ kerajaan.
“Bukanlah tugas kerajaan untuk melindungi imej sebarang syarikat,”
katanya sambil menambah syarikat itu harus menggunakan dana sendiri
untuk mengambil tindakan undang-undang dan bukannya wang pembayar cukai
melalui penggunaan jentera kerajaan.
Zaid Malek berkata beliau tidak menolak kemungkinan syarikat itu cuba
mendapatkan perlindungan daripada Akta Hasutan kerana selama ini
kerajaan sendiri telah banyak menyalahgunakan akta itu untuk menutup
sebarang kritikan terhadapnya.
MalaysiaNow telah menghubungi McDonald's Malaysia untuk mendapatkan penjelasan.
Boikot semakin rancak
Sementara itu, langkah terbaru McDonald's itu mengundang kecaman
orang ramai di media sosial, termasuk mereka yang berkata akan menyertai
boikot kerana marah dengan syarikat itu menggunakan pihak berkuasa.
"Mula nak boikot McD sebab dia bayar royalti ke US, indirectly
support Israel. Lepas tu bila dapat tau McD milik Saudi, lagi berapi-api
nak boikot. Hari ni McD nak guna Akta Hasutan untuk diamkan rakyat
pulak. Makin dalam lubang McD gali ni," kata seorang pengulas politik
popular yang menggunakan panggilan @chairmanGLC di laman X.
Komen tersebut mencerminkan rasa tidak puas hati yang semakin
meningkat dari penyokong Palestin terhadap Arab Saudi, selepas mesyuarat
pemimpin negara Islam di Riyadh dilaporkan gagal mencapai kata sepakat
mengenakan sekatan ekonomi terhadap Israel disebabkan bantahan Arab
Saudi dan beberapa negara Arab lain.
McDonald's Malaysia dimiliki Gerbang Alaf Restaurants, yang merupakan sebahagian Kumpulan Reza yang berpengkalan di Arab Saudi.
McDonald's adalah antara syarikat dinamakan Boycott, Divestment,
Sanctions (BDS), sebuah gerakan antarabangsa yang melancarkan pemulauan
syarikat, jenama dan institusi akademik yang didakwa membiayai dan
menyokong rejim Israel sama ada secara langsung dan tidak langsung.
BDS menganggap kempen memboikot McDonald’s dan beberapa rangkaian
makanan segera Amerika yang lain sebagai sebahagian daripada "kempen
akar umbi".
Menurutnya, jenama-jenama itu menjadi sasaran "kerana
syarikat-syarikat ini, atau cawangan atau francais mereka di Israel,
telah secara terbuka menyokong apartheid Israel dan/atau memberikan
sumbangan besar kepada tentera Israel di tengah-tengah serangan Israel
terhadap 2.3 juta rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang dikepung dan
ditakluki".
Diasaskan di Amerika Syarikat pada 2005, BDS diilhamkan oleh kejayaan
sekatan ekonomi terhadap Afrika Selatan pada tahun 1980-an, yang
akhirnya memaksa rejim kulit putih itu menamatkan dasar apartheid.
Sementara itu, pengguna media sosial di Malaysia terus menyokong
gesaan untuk memboikot sebarang entiti perniagaan yang ada kaitan dengan
kutipan hasil kerajaan Amerika Syarikat.
Suatu infografik yang luas tersebar merujuk kepada cukai pendapatan
McDonald's berjumlah AS$1.9 bilion yang dibayar di AS, sambil memberikan
sedikit penjelasan mengenai sistem percukaian di negara itu.
"AS mempunyai sistem percukaian di mana rakyat AS dan syarikat
domestik tertakluk kepada cukai AS ke atas pendapatan mereka di seluruh
dunia."
Kenyataan itu, disertai dengan tangkap layar pengumuman McDonald's
Israel mengenai sumbangannya kepada askar Israel, diikuti dengan petikan
berita mengenai bantuan AS kepada negara Zionis itu.
"Pada 3 Nov 2023, AS meluluskan bantuan ketenteraan AS$14.5 bilion
untuk Israel, yang akan dibiayai oleh pemotongan daripada Internal
Revenue Service, agenci utama kutipan cukai di AS," tambahnya.
mber:Malaysianow
Comments
Post a Comment