Sanusi nafi kata Vincent Tan korup

 Vincent Tan, Berjaya Land fail saman terhadap Sanusi

 

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau tidak mempunyai niat dan motif jahat, tipu daya serta kebencian terhadap Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Berjaya Land Berhad.

Muhammad Sanusi yang menjawab tuntutan saman Vincent Tan dan Berjaya Land, berkata sebagai ahli politik dan pemimpin masyarakat, beliau menggunakan kebebasan bersuara untuk menimbulkan isu tatakelola dan ketirisan bersandarkan kepada fakta yang secara substantifnya adalah benar.

Saman berkenaan difailkan Vincent Tan dan Berjaya pada 8 Ogos lalu, berhubung kenyataan Muhammad Sanusi mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) dalam ucapannya pada ceramah sempena kempen pilihan raya 'Jelajah Mega PN Best' atau 'PN Best Sayangi Kedah Sejahtera mega tour' di Dataran Darulaman, Jitra, Kedah pada 2 Ogos lalu.

Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 29 September lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu menafikan ucapannya pada program terbabit memfitnah Vincent Tan dan Berjaya yang bertindak selaku plaintif pertama dan kedua.

Muhammad Sanusi berkata, selaku ahli politik pembangkang, beliau mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk mendedahkan isu tatakelola dan ketirisan dalam pentadbiran ahli politik PH dan Barisan Nasional.

Beliau berkata, tiada langsung rujukan dibuat terhadap Berjaya Land secara langsung atau secara sindiran dan beliau tidak pernah membuat tuduhan bahawa Vincent Tan seorang ahli perniagaan yang korup.

"Saya tidak pernah menyatakan plaintif pertama dan kedua melakukan aktiviti haram atau menyalahi undang-undang, menipu rakyat Selangor dan mempunyai kecenderungan untuk melakukan amalan tidak jujur dan mempunyai reputasi yang buruk.

"Plaintif juga tidak mengalami sebarang kerugian kerana Projek SMG masih lagi diteruskan," katanya.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, Vincent Tan mendakwa ucapan Muhammad Sanusi yang disiarkan secara langsung dan diterbitkan semula, membuat rujukan yang spesifik dan langsung kepadanya dengan menyebut namanya sepanjang ucapan di ceramah itu.

Berjaya Land pula berkata, walaupun tiada rujukan spesifik dibuat terhadap syarikat itu, kenyataan berkenaan boleh difahami sebagai merujuk kepada syarikat berkenaan.

Menurut Vincent Tan, kenyataan berbaur fitnah itu antara lain membawa maksud beliau dan syarikat terbabit adalah korup dan kroni Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.

Plaintif berkata, ia juga bermaksud mereka memberikan manfaat secara langsung atau tidak langsung kepada Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri sebagai balasan kepada tanah percuma itu.

Selain itu, kata plaintif ia juga bermaksud mereka menyebabkan Kerajaan Negeri Selangor mengalami kerugian dan membelanjakan sekurang-kurangnya RM180 juta susulan tanah yang didakwa diberikan secara percuma.

Plaintif mendakwa, ia juga bermaksud mereka dengan syarikat berkaitan mempunyai jumlah hasil pendapatan gabungan sebanyak RM33.3 bilion.

Vincent Tan dan Berjaya Land berkata, kenyataan fitnah itu akan merosakkan dan menyebabkan kerugian kewangan terhadap 67,367 pemegang saham dalam BCorp dan 7,053 pemegang saham dalam Berjaya Land.

Kata plaintif, ia juga mampu merosakkan reputasi mereka dalam dunia perniagaan sama ada di dalam atau luar negara serta berpotensi menyebabkan kehilangan keuntungan jutaan ringgit.

Sumber: Berita Harian

Comments

Popular posts from this blog

TABUNG HAJI DEDAH MODUS OPERANDI TERBARU SCAMMER MENGGUNAKAN NAMA TABUNG HAJI

Kerajaan sedia perinci kenaikan gaji penjawat awam

Sanusi dedah kronologi isu kontrak beras 100 juta