FAHMI FADZIL ARAH FESTIVAL GOOD VIBES DIBATALKAN

 

 

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengarahkan baki dua hari konsert Good Vibes Festival (GVF) 2023 di Litar Antarabangsa Sepang, agar dibatalkan.

Arahan itu dibuat setelah Fahmi mengadakan pertemuan dengan penganjur konsert berhubung aksi vokalis kumpulan The 1975 Matty Healy di pentas semalam.

Ketika mengadakan persembahan, Healy dilihat memegang botol arak selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) serta mencium seorang anggota kumpulannya yang merupakan seorang lelaki.

"Ingin saya tegaskan, pendirian kerajaan perpaduan amat jelas.

Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.

"Justeru, saya telah mengarahkan pembatalan serta-merta baki festival tersebut yang sepatutnya berlangsung hari ini sehingga esok," katanya di Twitter.

Fahmi berkata dia telah menggesa penganjur untuk mengenal pasti cara untuk membayar ganti rugi kepada mereka yang telah membeli tiket.

"Kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara. Bagaimanapun, jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan," katanya lagi

Dalam pada itu, penganjur menyuarakan permohonan maaf kepada pemegang tiket, vendor, penaja dan rakan usaha sama mereka, dan memberi jaminan akan memberikan makluman berkenaan pembayaran ganti rugi secepat mungkin.

"Kami memahami masa, usaha dan tenaga yang telah anda berikan untuk menjayakan festival ini dan kami menghargai sokongan tinggi anda.

"Kami menghargai sikap memahami dan sokongan berterusan di saat-saat sukar ini," kata penganjur dalam kenyataan.

Sementara itu, Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-Puspal) telah meyenarai hitam The 1975 daripada membuat persembahan di Malaysia.

Sumber: Malaysiakini

 

Comments

Popular posts from this blog

TERKINI : NAJUB DAPAT PENGAMPUNAN?

Bagaimana mendaftar di Padu dan maklumat diperlukan

Bonus! Penjawat awam dapat RM2,000, pesara RM1,000