SAYA ADA SEBAB UNTUK MENENTANG PRESIDEN UMNO-ANUAR MUSA

 

 Annuar Musa umum sertai Perikatan Nasional, bidas UMNO jadi tukang sapu DAP  - Agenda Daily

 

PASIR PUTEH: Tan Sri Annuar Musa mendedahkan, punca sebenar beliau menentang tindak-tanduk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hingga namanya disisih daripada menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau menegaskan, penentangannya sebab kepimpinan UMNO itu memecahkan-belahkan kerjasama di antara PAS dengan UMNO yang dibina menerusi Muafakat Nasional (MN) semata-mata mahu membuat jajaran politik yang baru.

Sedangkan, katanya, pada awal kerjasama di antara UMNO, PAS dan Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), beliau dihantar oleh UMNO untuk membuat rundingan dengan pemimpin kedua-dua parti itu.

"Namun di belakang, saya digelar sebagai ejen BERSATU dan pro PAS. Sebaliknya, saya dihantar oleh Presiden UMNO untuk membuat rundingan.

"Menteri UMNO yang berjasa memberi kemudahan kepada rakan-rakan dalam UMNO termasuk saya 'dipotong' (peluang bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 oleh Presiden UMNO).

"Pada saya, ini untuk kepentingan peribadi. Saya mengaku saya menentang (Presiden UMNO)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Jelajah Ceramah Ppakat Pertahan Parlimen Pasir Puteh di Dewan Saripudin Maahad Saniah di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd Nor.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh, berkata beliau kini berasa tenang menjadi ahli biasa PAS dan tiada jawatan dalam parti serta kerajaan.

"Selama 50 tahun saya adalah orang kerajaan dan sertai empat kementerian dengan lima Perdana Menteri. Saya berfikir panjang nak duduk sebelah lawan kerajaan.

"Saya sudah ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MN, namun perlu juga platform politik yang selari dengan pemikiran. Parti yang istiqamah bela Islam dan parti yang jujur membela agama serta ikhlas dengan orang Melayu dan parti yang ada rekod bersih. Maka, saya tidak teragak-agak dan reda untuk jadi ahli PAS," katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, Kelantan tidak sempat menikmati pelbagai perubahan dirancangkan ketika pemimpin PAS berada dalam pentadbiran Kerajaan Pusat, susulan pembubaran Parlimen untuk PRU15.

Katanya, PAS sudah lama bertempur dalam politik, namun selama ini tidak pernah berpeluang untuk memegang pucuk kuasa dalam Kerajaan Pusat sehinggalah mendapat peluang berbuat demikian bersama UMNO dan BERSATU.

"Ketika itu, antara tujuh hingga lapan Menteri dan Timbalan Menteri dari Kelantan yang dilantik. Baru Menteri boleh duduk sekali dengan Menteri Besar dan itulah masanya kita nak bina Kelantan.

"Tuan Ibrahim (Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) jaga air dan saliran. Soal air dan saliran Kelantan kita susun kerana hendak bela nasib rakyat.

"Saya sebagai Menteri Komunikasi bawa terus rancangan nak buat 4G dan 5G di Kelantan. Saya arahkan supaya Kelantan dimodenkan dari segi komunikasi dan begitu juga rakan menteri yang lain," katanya.

Untuk rekod, PAS sebelum ini pernah berada dalam pentadbiran Kerajaan Pusat diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebagai Perdana Menteri.

PAS juga kekal dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mengambil alih pentadbiran negara daripada Muhyiddin.

Namun Ismail Sabri yang ketika itu Naib Presiden UMNO, menjadi Perdana Menteri untuk tempoh paling singkat susulan desakan membubarkan Parlimen yang dihadapinya daripada kepemimpinan parti sendiri.

Annuar berkata, ketika beliau bersama rakan-rakan menteri termasuk daripada PAS mula melaksanakan kerja, pentadbiran negara digugat dengan usaha menjatuhkan kerajaan dan membubarkan Parlimen.

"Ketika itu, UMNO dan PAS bergerak atas nama Muafakat Nasional, malah ada perjanjian persefahaman (MoU) untuk hubungan itu. Sebelum itu, Presiden UMNO, jumpa dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin di Perlis.

"Mursyidul Am PAS pesan jika ada pertelagahan di antara UMNO dan PAS perlu rujuk kepada al-Quran. Namun, tanpa bincang dan rujuk al-Quran, tanpa rujuk MoU, Presiden UMNO jumpa senyap-senyap pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan kerajaan yang aman.

"Adakah dia (Presiden UMNO) fikir soal rakyat, soal perpaduan umat Islam yang kita berair mata baca piagam. Rakyat juga mula suka dengan kerajaan yang dibentuk pada masa itu," katanya.

 Sumber: BeritaHarian

Comments

Popular posts from this blog

TABUNG HAJI DEDAH MODUS OPERANDI TERBARU SCAMMER MENGGUNAKAN NAMA TABUNG HAJI

Kerajaan sedia perinci kenaikan gaji penjawat awam

Sanusi dedah kronologi isu kontrak beras 100 juta